Kegerunan Seorang Hamba~.~

Bismillahirrahmanirrahimm....

     Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pengunjung yang dirahmati Allah, selawat ke atas junjungan besar nabi kita, Nabi Muhammad S.A.W, semoga kita antara yang terpilih  mendapat syafaatnya di akhirat kelak...Amin Ya Rabb... Hidup ini pastinya tidak lesu dengan menemukan jalan buntu dan saya yakin semua manusia di dunia ini yakni seorang Islam mahupun kafir inginkan ketepatan dalam membuat pilihan agar menemui kebenaran dalam pilihannya...Namun begitu, kebenaran itu tidak akan datang bergolek begitu sahaja sebaliknya perlu diusahakan dengan menimba ilmu seperti yang pernah diwasiatkan oleh Rasullulah S.A.W iaitu:

   "Berilmulah, berilmulah, berilmulah." Sesudah berilmu, Faa' malu, barulah beramal. Wa' lamu annakum lan turjabu. Kena tahu: tak ada pahala sedikit pun, illa an ta' malu ma tata' allamu, kecuali amal apa yang kamu belajar.(Dipetik daripada nakshah Tafsir & Fadhilat Al- Fatihah, m/s 28, Dr.Fatma ElZahraa Muhd Ramadan).

   Berdasarkan wasiat di atas kita dapat lihat, betapa Rasullulah S.A.W sangat menekankan supaya kita berilmu agar kita dapat beramal dilandas yang benar. Cara paling mudah untuk kita mendekati ilmu adalah dengan membaca dan menerima nasihat. Kadangkala kita merasa diri kita sudah cukup dengan ilmu yang kita pelajari, tetapi kita tidak tahu bahawasanya ilmu yang kita pelajari itu akan kita lupakan juga dalam suatu masa sehinggakan diri kita tidak mengenal sesuatu ilmu yang kita pelajari itu yakni  seakan-akan kita tidak pernah mempelajarinya. Bagaimana kita ingin mengetahui bahawa kita sudah semakin lupa dengan ilmu yang kita pelajari? Saya percaya, kita semua pernah mengalami suatu situasi dimana kita pernah melakukan kejahatan dan kemaksiatan ketika dalam keadaan jahil lantas pada suatu saat kita berasa gerun atau menyesal setelah menemui kebenaran itu di dalam majlis ilmu. Tahniah jika kita semua mempunyai perasaan gerun setelah kita mempelajari sesuatu ilmu yang berjaya membongkar kejahilan kita, kerana ilmu yang mendatangkan ketakwaan adalah ilmu yang bermanfaat dan kegerunan itu tanda kita beriman kepada Allah.

 Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.

 Masih ada persoalan yang belum terjawab iaitu bagaimana kita ingin mengetahui bahawa kita sudah semakin lupa dengan ilmu yang kita pelajari? Jawapannya mudah sahaja, iaitu apabila ketakwaan atau perasaan gerun kita untuk melakukan larangan Allah berkurangan. Suatu masa dulu kita pernah tinggalkan perbuatan maksiat atau mungkar yang pernah kita kerjakan dahulu  dalam kejahilan setelah menuntut ilmu namun tidak mustahil untuk kita kembali kepada kekufuran jika kita mengabaikan pengajian ilmu.

 Pengajian ilmu dalam memantapkan kekuatan akidah dan iman  tidak kurang irasnya dengan pengajian ilmu ketika zaman persekolahan. Ketika zaman persekolahan kita dahulu kita selalu menumpukan sepenuh usaha kepada subjek-subjek yang kurang kita dalami dan kuasai. Begitu juga dengan ilmu agama, jika kita seorang yang sukar atau kerap melakukan dosa zina, maka ilmu atau peringatan berkaitan amaran Allah terhadap zina perlulah didedahkan kepada diri. Namun ini tidak bermakna, kita hanya perlu menumpukan ilmu yang kita lemah sahaja tetapi ilmu-ilmu lain juga perlulah di timba agar kita tidak lalai dalam peringatan Allah yang lain kerana pastinya fitrah manusia iaitu akan melupakan apa yang telah di tinggalkan.




  Manusia itu sentiasa ada kekurangannya dalam beribadat kepada Allah namun keredhaan Allah itulah yang telah menjadikan ibadat kita sempurna. Namun begitu, sebagai hamba Allah kita hendaklah bertakwa dan beribadat kepadanya dengan sebenar-benar ketakwaan. 


   Setakat sini sahaja untuk penulisan pada kali ini, segala kekurangan yang ada pada penulisan kali ini mohon tunjuk ajar dan segala yang baik yang ada pada penulisannya ini datangnya daripada Allah..... Assalamualaikum.....:-)

Comments

Popular Posts