Bukan semua yang datang itu nasihat

Bismillahirrahmanirrahim

  Assalamualaikum dan selamat menyambut Hari Assyura buat semua umat Islam, saya mengajak diri saya, rakan-rakan blog dan pengunjung supaya memanfaatkan kesempatan ini untuk mengerjakan ibadat puasa sunat  pada 8, 9, & 10 Muharam ini kerana Allah menjanjikan fadhilat keampunan ke atas dosa-dosa kita sepanjang tahun lalu, InsyaAllah.

 
Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah SAW bersabda:
“Seafdal-afdal puasa selepas puasa Ramadhan ialah puasa dalam bulan Muharram dan seutama-utama solat sesudah solat fardu ialah solat 1/3 malam.” (HR Muslim)
 Pada penulisan kali ini, sekali lagi saya ingin sentuh berkaitan nasihat. "Aik? pasal nasihat lagi? " asyik2 ceta sal nasihat, asyik2 ceta sal nasihat, borinnnnggg." Sebenarnya apa yang kita fahami mengenai nasihat pada penulisan sebelum ini adalah belum cukup setakat itu dan sepertimana yang kita mengetahui bahawa lautan ilmu itu sangat-sangat dalam.Meskipun ada antara kalangan kita yang mendapat gelaran " tok guru", "ustaz", atau "proffesor" kerana memiliki latar belakang pendidikan yang tinggi, tidak bererti mereka perlu berhenti untuk menuntut ilmu kerana telah menjadi adat kehidupan di dunia ini, sesiapa yang inginkannya perlu ada ilmu. Selagi kita hidup di dunia ini, Selagi itu kita tidak terlepas daripada gelaran "bodoh" dan sesiapa yang tidak mengakui gelaran yang Allah tetapkan ini maka menjadilah ia akan orang yang sombong dan rugi. Kita akan mendapat perlindungan daripada Allah daripada kejahilan terhadap sesuatu selagi kita tidak berhenti untuk menuntut ilmu.Kadangkala kita berasa bangga apabila berjaya menguasai ilmu yang belum dipelopori orang lain, kita berasa bangga kerana tingkat ilmu yang kita pelajari itu lebih tinggi daripada orang lain dan kita merasakan bahawa tidak ada lagi sesuatu ilmu yang kita perlu pelajari kerana merasa diri sudah cukup dengan ilmu. Bukankah sikap ini menjadikan kita lebih bodoh? Bukankah Allah itu Maha Luas pengetahuan dan ilmuNya? Peringatan buat diri dan pengunjung, ilmu yang kita pelajari Allah turunkan sekadar kemampuan dan perjalanan kita namun sangat luas untuk dipelajari agar kita terus istiqamah kerana Allah lebih sukakan ibadat hambaNya yang sedikit tetapi ditetapkan(istiqamah) berbanding yang banyak tetapi ditinggalkan. 
 Malaikat itu menjawab: "Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana".( Surah Al-Baqarah Ayat 32)
 Ilmu itu merupakan suatu dimensi yang mempunyai banyak sisi-sisi yang terbatas untuk akal fikiran manusia untuk mengetahui berapa banyak bilangan sisi itu.Setiap daripada kita memandang sesuatu ilmu itu daripada sisi yang berbeza yang menyebabkan lahirnya pelbagai pendapat yang berbeza meskipun pegangan agama yang kita pegang adalah sama. Kita seharusnya menghormati pendapat orang lain, kerana kita sebenarnya bukan berada di sisi i yang sama( tidak nampak sesuatu dari arah itu) tetapi kita masih berada dalam dimensi yang sama.Jadi tidak hairanlah mengapa sekalian kita mempunyai daya fikir dan pendapat dan mazhab yang berbeza meskipun berada dalam suatu agama yang serupa. Oleh itu kita tidak boleh mengatakan bahawa hanya Mazhab Syafie sahaja yang benar berbanding Mazhab lain. Berbeza pendapat sememangnya nikmat sepertimana berbezanya kaum agar kita saling kenal mengenali.
. Bertepatan dengan Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

”Hai manusia, Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal”.(Surah Al-Hujurat ayat 13)

   Kita sebenarnya  boleh menghomati pendapat orang lain tetapi kita tidak boleh menuruti pendapat tersebut tanpa keikhlasan atau kerelaan hati melalui ilmu kerana sekalian kita telahpun mengetahui bahawa hanya dengan ilmu kita dapat membezakan perkara yang hak dan batil.Nasihat tidak jauh bedanya dengan pendapat, dan  sebenar-benar nasihat adalah nasihat yang tidak ada ciri-ciri "paksaan". Di dalam dunia ini, kita pastinya tidak akan lari daripada menerima pandangan dan pendapat daripada seseorang samaada ketika kita berjaya atau gagal.Dan ingatlah bukan semua pendapat  yang datang itu nasihat atau ianya baik untuk diri kita sebaliknya menjadi "umpan" kebinasaan hidup. Pendapat yang kita terima perlulah kita selidiki terlebih dahulu, sama ada ianya nasihat atau sebaliknya. Persoalannya, bagaimana kita ingin mengenal pasti bahawa pendapat-pendapat itu terkandung nasihat yang menjadi penyelamat dari kekufuran?

1) Seseorang yang memberikan pendapat terhadap mu lalu pendapat itu tidak sesekalipun  menyebabkan dirinya mendapat keuntungan daripada apa disampaikan itu NASIHAT.
"Turutlah orang-orang yang tidak meminta kapada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang mandapat hidayah petunjuk". ( Surah Yaasin Ayat  21) 

2)  Seseorang yang memberikan pendapat terhadap mu dan pabila kamu menolak pendapatnya dirinya tetap terus sabar itu NASIHAT.
"Maka janganlah engkau (wahai Muhammad) berdukacita disebabkan tuduhan-tuduhan mereka (terhadapmu). Sesungguhnya Kami sedia mengetahui apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka nyatakan." (Surah Yaasin Ayat 76)

 Namun tidak bererti kita tidak perlu berbaik sangka dalam menerima sesuatu pendapat sebaliknya kita cuma berwaspada agar diri kita selamat daripada musuh-musuh Islam yang bertopengkan Islam. Cukup sampai sini untuk penulisan kali ini, InsyAllah akan dilanjutkan pada penulisan akan datang dan seperti biasa saya ingin memohon maaf sekiranya ada terkasar bahasa, dan tersilap dalam menyampaikan ilmu. Teguran dan bimbingan anda semua sentiasa saya alu-alukan agar kita sama-sama menuju ke jalan yang diRedhai.


"Sebahagian Pendapat itu Nasihat dan sebahagiannya menjadi racun bagi sesiapa yang malas berfikir"

" Dan Dia lah yang menghidupkan dan mematikan; dan Dia lah yang menentukan pertukaran malam dan siang. Maka tidakkah kamu mahu berfikir?" {Al Mukminun: 80)



 
 








Comments

Popular Posts