Hayati Syahadah
Bismillahirrahmanirrahim......
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pengunjung, baik yang dekat mahupun yang jauh semoga kita sama-sama mendapat manfaat daripada ilmu yang dikongsikan mulai penulisan saya yang lalu hinggalah ke hari ini. Ilmu-ilmu yang cuba saya kongsikan mungkin tidaklah begitu padat malah ramai antara kita telah mengetahuinya namun saya cuba untuk kongsikan agar ianya menjadi peringatan buat kita sekaligus mempermudahkan golongan-golongan yang baru memeluk Islam untuk mempelajarinya. Mengucap dua kalimah syahadat merupakan rukun Islam pertama yang wajib dilafazkan bagi semua umat Islam dan sesiapa yang mahu memeluk agama yang diterima di sisi Allah S.W.T ini. Kalimah syahadah atau syahadat ini juga selalu dilafazkan oleh kita ketika solat semasa membaca Tahiyatul Awal dan Akhir bagi memperbaharui iman kita yang akan lusuh sekiranya amalan mengucap Dua kalimah syahadat ini kita tinggalkan dalam jangka masa tertentu.
Mengucap Dua Kalimah Syahadat merupakan tiang atau tulang belakang yang menyokong dan memperkukuhkan rukun-rukun Islam yang lain sepertimana yang terdapat pada hadis:-
Hadis Muaz r.a katanya:
Aku diutuskan oleh Rasulullah s.a.w. Baginda bersabda: Engkau akan mendapati golongan Ahli Kitab, oleh itu dakwahlah mereka supaya mengucap Dua Kalimah Syahadat. Jika mereka menerima Dua Kalimah Syahadat tersebut, ajarkanlah mereka bahawa Allah mewajibkan kepada mereka mendirikan sembahyang lima waktu sehari semalam. Sekiranya mereka tetap mentaati perintah tersebut, ajarkanlah pula kepada mereka bahawa Allah mewajibkan kepada mereka agar mengeluarkan zakat. Jika mereka tetap mentaatinya, beritahulah mereka supaya berhati-hati terhadap harta mereka yang sangat disayangi dan takutlah doa orang yang teraniaya kerana doa mereka adalah mustajab.
Namun persoalannya adakah kita menjamin bahawa cukup sekadar kita mengucapkan kalimah syahadah ini kita sudah menjadikan kalimah ini sebagai "tulang belakang" atau sokongan yang kuat untuk memperkukuhkan ibadat-ibadat lain?
Sebenarnya, kalimah syahadah itu bukanlah sekadar ucapan semata-mata malah kalimah syahadah ini perlu dengan penghayatan yang mendalam sepertimana kata-kata cinta yang keluar daripada mulut seseorang buat insan yang benar-benar dicintai. Penghayatan kalimah syahadah yang mendalam hanya mampu diperolehi dengan ilmu iaitu mengenali apa itu kalimah syahadat? Selagi kita tidak mengenal kalimah syahadat, Selagi itu kita tidak mencintainya dan bagaimana kita ingin menghayatinya tanpa adanya perasaan cinta terhadap kalimah ini? Menyebut kalimah syahadah melalui penghayatan lisan ini sebenarnya sudah cukup untuk menunjukkan cinta dan taat setia kita kepada Islam tetapi sebenarnya penghayatan ini akan menjadi lebih sempurna sekiranya kita cuba mendalaminya dengan ilmu agar melahirkan KEIKHLASAN. Setiap Ibadat itu Allah akan memberikan balasan bagi setiap amalan itu berdasarkan sejauh mana kadar keikhlasan yang ada pada hambaNya untuk ibadat yang dikerjakan.
Di antara, firman Allah yang bermaksud: �Sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran ini kepadamu (wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran, oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat dan bawaanmu kepada-Nya.� � (Surah al-Zumar, ayat 2).
~ Cinta tanpa keikhlasan~
Adakah bernilai cinta tanpa keikhlasan? Pastinya tidak bukan. Tanpa kita sedari, sebenarnya KEIKHLASAN yang menghiasi cinta sehingga cinta itu menjadi indah. Selalu kita dengar, pujangga-pujangga cinta menyatakan bahawa persoalan-persoalanlah sebenarnya yang menjadikan cinta itu terus bergelora. Tahukah kita bahawa sebenarnya persoalan-persoalan itu keseluruhannya mencari jawapan samada sejauh manakah "si dia" ikhlas mencintai kita dan bagi yang mula menjalinkan cinta pula akan wujud persoalan adakah "si dia" ikhlas mencintai kita.Contoh pertanyaan yang selalu kita dengar buat pasangan kekasih, "Betulkah awak mencintai saye?"(cakap semenanjung tu), "Sayang cintakan abang tidak?". Kita tidak jemu untuk menanyakan persoalan ini kepada pasangan kita sehinggakan kadangkala pasangan kita jemu dengan pertanyaan itu. Tidak berhenti setakat pertanyaan itu, kita akan terus mengali keikhlasan itu dengan pertanyaan seterusnya, "mengapa sayang cintakan abang?" semata-mata untuk mengali keikhlasan yang akan terus menjadi misteri.Jelaslah bahawa cinta dan keikhlasan tidak mampu dipisahkan. Semakin kita kenal definisi kalimah syahadat itu, semakin tinggi tingkat ikhlas dan iman kita kepada Allah S.W.T.Benarlah kata seorang ahli bijak pandai yang menyatakan bahawa:
"Keikhlasan itu umpama seekor semut hitam di atas batu yang hitam di malam yang amat kelam. Ianya wujud tetapi amat sukar dilihat."
Comments