Mangsa Si Munafik. . . .
Bismillahirrahmanirrahim. . . . . . .
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pengunjung kaum Adam dan Hawa yang sudi mengaut secebis ilmu yang dikongsikan daripada laman blog ini.Pada penulisan kali ini saya lebih tertumpu kepada megemukakan pandangan saya mengenai JODOH.Setiap sesuatu yang Allah ciptakan di muka bumi ini pastinya dengan berpasang-pasangan samaada yang kita ketahui mahupun yang tidak kita ketahui.Siang itu Allah jadikan Malam pasangannya yang menjadikan kehidupan manusia lebih teratur dan sempurna, burung-burung pula Allah jadikan sepasang sayap buatnya untuk terbang, dan hidup pula Allah "jodohkan" dengan kematian terhadap segala ciptaanNya agar sempurna kitaran hidup ciptaanNya sebagai hambaNYA.Selain ALAM, segala sifat-sifat yang ada di dunia ini Allah jadikan berpasang-pasangan yang menjadikan dunia ini sempurna sebagai ujian buat ciptaanNya terutamanya makhluk yang bernama manusia.Yang cantik pasangannya itu adalah hodoh, yang miskin pasangannya itu adalah kaya, dan yang kuat pasangannya itu adalah lemah. Oleh itu, bagi sesiapa yang memiliki kecantikan, kecantikan itu tidak mungkin akan terserlah tanpa adanya kehodohan, dan bagi sesiapa yang memiliki kekayaan, kekayaan itu tidak mungkin akan dimiliki tanpa adanya kemiskinan di sekeliling.
"Maha suci Allah yang menciptakan berpasang-pasangan semuanya, di antara apa-apa yang ditumbuhkan dan dari diri mereka sendiri dan dari apa-apa yang tidak mereka ketahui". (Surah Yaasin: 36)
Namun begitu, kehodohan, kemiskinan dan kelemahan yang Allah ciptakan itu bukanlah sia-sia semata-mata namun ianya terselindung seribu hikmah yang membawa kebaikan.Meskipun kehodohan, kemiskinan dan kelemahan nampak sulit pada zahirnya namun sebenarnya terkandung seribu kebaikan. Sebagai contoh, seorang wanita hodoh agak kurang mendapat perhatian lelaki atau perhatian orang ramai berbanding wanita yang dikurniakan kecantikan namun wanita hodoh pula risiko untuk menjadi mangsa rakus nafsu jahat lelaki adalah kurang berbanding wanita yang dikurniakan kecantikan.
“Karena sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.” (QS Al-Insyirah: 5-6).
Adanya pasangan lelaki & wanita, suami dan isteri di kalangan manusia mahupun di kalangan jin adalah bukti kekuasaan Allah S.W.T. Setiap daripada kita mengimpikan pasangan dan jodoh yang terbaik buat kita.Namun hakikatnya, hanya sesiapa yang cuba memperbaiki amalan dan ibadatnya sahaja yang akan menemukan jodoh yang baik buat dirinya.
"Perempuan jahat untuk laki-laki yang jahat, dan laki-laki yang jahat untuk perempuan jahat; dan perempuan yang baik untuk laki-laki yang baik, dan laki-laki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik." an-Nur: 26)
Peringatan buat diri saya dan para pembaca sekaliannya, ramai di kalangan kita yang mengimpikan jodoh yang baik, namun diri sendiri terjerumus ke lembah zina dan maksiat.Jika kita memilih untuk mendapatkan pasangan yang baik, mengapa kita masih menghampiri zina?
Laki-laki yang berzina tidak mengawini melainkan perempuan yang berzina, atau perempuan yang musyrik; dan perempuan yang berzina tidak dikawini melainkan oleh laki-laki yang berzina atau laki-laki yang musyrik, dan yang demikian itu diharamkan atas orang-orang yang mukmin.(QS. 24:3)
~Pemilihan jodoh~
Adalah tidak salah bagi kita untuk meletakkan ciri-ciri lelaki atau wanita idaman dalam pemilihan pasangan namun adalah lebih baik untuk kita sekadar menyatakan secara terangan-terangan(doa) terhadap Allah atau cukuplah sekadar didalam pengetahuan kita sahaja. Penampilan tidak sama sekali mempamerkan keaslian kerana penampilan itu sama sekali boleh berubah.Jadi tidak hairanlah mengapa golongan muslim dan muslimah kebanyakannya telah tertipu dengan golongan munafik yang telah "melakonkan" ciri-ciri idaman yang diwar-warkan oleh golongan yang menjadi mangsa Si Munafik ini.
Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati kepada tubuh badan mereka (dan kelalukannya); dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan fasih. Dalam pada itu) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tidak ada padanya kekuatan yang dikehendaki). Mereka (kerana merasai bersalah, sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka. Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka. Semoga Allah membinasa dan menyingkirkan mereka dari rahmatNya. (Pelik sungguh!) Bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsunya - dari kebenaran)? (Surah Al-Munafiqun Ayat 4)
Bagaimana pula jika terbit pertanyaan daripada seseorang berkaitan ciri-ciri pasangan idaman kita? perlukah kita merahsiakannya atau berdiam diri???? :-) Cukuplah pertanyaan itu dijawab dengan bersederhana, tidak terperinci dan tidak pula ianya menyebabkan kebingungan. Beragama pastinya jawapan yang sangat sesuai buat pertanyaan sebegini buat kita semua kerana kita semua mengetahui bahawa dengan pegangan agama kita meraih kejayaan dunia dan akhirat.
Rasulullah s.a.w pernah bersabda, “Seorang wanita itu dinikahi kerana empat; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikkannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu mengutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia.” [1] Hadith ini telah direkodkan oleh kedua-kedua Imam Bukhari dan Imam Muslim di dalam kitab sahih mereka serta imam hadith yang lain.
Hanya seorang suami atau seorang isteri yang layak menerima jawapan terperinci mengenai soalan ciri-ciri pasangan idaman tersebut. Simpanlah jawapannya mulai hari ini, dan apabila sudah tiba masanya katakanlah pada si penanya soalan itu dengan jawapan yang ringkas bahawa semua ciri-ciri itu ada padanya, tidak lebih dan tidak kurang.
Seperti biasa di hujung pena ini, saya ingin memohon maaf sekiranya terdapat kecacatan samada yang disengajakan atau tidak disengajakan pada penulisan kali ini. Sekiranya terdapat kesalahan terhadap ilmu yang saya sampaikan, saya amat mengalu-alukan tunjuk ajar dari pengunjung kerana yang baik itu daripada Allah dan yang buruk itu daripada saya sendiri. Assalamualaikum....:-)
" Ketika tiba saat perpisahan janganlah kalian berduka, sebab apa yang paling kalian kasihi darinya mungkin akan nampak lebih nyata dari kejauhan - seperti gunung yang nampak lebih agung terlihat dari padang dan dataran. "
Comments